Perempuan Membaca (Expert's View)

by Nik Nur Madihah



Rosemarie Urquico menyebut :





Dan saya telah melihat ini dari beberapa sudut:

1. Seruan supaya perempuan-perempuan sekalian berhabis masa untuk memikirkan perkara yang lebih bermakna, untuk diri, keluarga, masyarakat dan ummat secara umumnya.

Bukan soal membaca semata, tetapi soal menggunakan ‘aqal yang Tuhan kurnia untuk pembangunan diri dan orang sekeliling.

Tidak terpedaya dengan iklan fesyen kapitalis yang cekik darah berlebihan, tidak berebut-rebut semasa jualan runtuh dan lelong pakaian, tidak juga membanding-banding anak siapa paling pandai di sekolah, kerana kita mampu membaca di sebalik susunan lahiriah yang sering berdusta.

2. Ini juga seruan untuk membentuk sistem nilai yang kita pegang. Dan percayalah, selaku perempuan, kita punya peranan berpengaruh untuk mencorakkan sistem nilai dalam persekitaran. Kalau tidak sebesar polisi negara, sekurang-kurangnya polisi keluarga. Meletakkan nilai pada tempat yang haq dan betul.

Bukan ikut-ikutan. Tetapi sebab kita bersikap di atas pendirian. Termasuk membaca. Kita tidak membaca kerana semua orang membaca, tetapi kita punya sikap yang jelas terhadap pembacaan.

3. Kita akan jadi perempuan pemberani apabila hak kita diinjak pihak yang tidak berhak, dan kita akan contohkan keberanian melawan kebatilan. Kita akan jadi perempuan yang dalam santunnya terkandung hikmah, bukan lemah. Setelah sistem nilai kita terlahir dari acuan kebenaran dan keutamaan hakiki.

4. Kita akan jadi jiwa-jiwa halus yang mampu mengubah hanya dengan sekali sentuh. Yang akan memahami bahawa mengisi manusia bukan sahaja mengisi jasadnya.

5. Kita juga tidak akan digentarkan kegagalan dan kekecewaan, kerana kita telah mengerti bahawa Tuhan menulis sekuel hidup dengan takdir yang paling cocok dan menarik untuk kita. Meskipun kadang-kadang, perasaan takut itu menyelinap ke sudut hati, kita akan gegas menepisnya dengan doa dan penyerahan.
Justeru, jadilah lebih dari perempuan yang membaca; perempuan yang memanfaatkan ‘aqalnya. Kerana perempuan yang memanfaatkan ‘aqalnya adalah perempuan yang membahagiakan.

Atas permintaan seorang adik, saya kongsikan sedikit coretan tentang perempuan yang menulis:

1. Perempuan yang menulis betah ditinggal-tinggalkan, dibiarkan berteman dengan sunyi, kerana dia selalu punya wadah untuk mengalirkan kekuatan emosinya. Dia tidak larut dalam mainan rasa sia-sia, tetapi dia membuat penghasilan penuh makna dengan bijaksana.

2. Hati-hati dengan perempuan yang menulis, kerana kau akan jadi sumber ceritanya yang terakam abadi, antara lembaran manuskrip hidupnya yang bakal diwariskan. Kalau kau berbuat onar, jangan-jangan kau disumpah tujuh keturunan.

Dan sejujurnya saya percaya, keperempuanan terangkum padanya kepenulisanan.

"Menulis menyembuhkan luka. Berkarya adalah kesempatan dalam kesempitan sekalipun. Bekerja adalah ibadah. Awali dengan ilmu, tuntaskan dengan cinta, tidak demi apapun."
-Dian Nafi-

*Penulis berasal dari Pangkalan Chepa, Kelantan dan merupakan pelajar cemerlang Sijil pelajaran Malaysia (SPM) 2008. Penulis juga merupakan alumni Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) dan sekarang sedang  menyambung pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak. Selain aktif dalam akademik, penulis juga aktif berkongsi pengalaman dan penemuannya di dalam bentuk penulisan, terutamanya di website beliau, iaitu niknurmadihah.com dan terlibat dengan banyak aktiviti organisasi dan persatuan. Penulis juga merupakan pengasas DukkanMaya.com, iaitu satu platform keusahawanan secara online yang digerakkan oleh sekumpulan belia-belia Islam.

Perkongsian ini juga boleh dibaca di laman web penulis iaitu niknurmadihah.com

Comments

Popular Posts