Jejak Ilmu (Expert's View)

by Anwar Nursi



"Buku perlu mempunyai salah satu daripada empat tujuan, iaitu kebijaksanaan, kesolehan, kesenangan dan kegunaan hidup."

(John Denham) 

SEORANG remaja menceritakan kisah hidupnya. Sejak kecil dia diajar orang tuanya bahawa solat tidaklah perlu dititik-beratkan. Puasapun sama. Solat diibarat seperti menambah perabot di dalam rumah.

Kalau rajin solat banyaklah perabotnya nanti di akhirat dan kalau tidak sedikit sajalah yang dimiliki. Tidak ada dosa dan tidak ada pahala. Tiada dosa untuk berzina dan mencuri juga dibenarkan. Satu saja pantangnya; jangan berbincang dengan orang lain ilmu yang diajarkan kalau bukan yang satu perguruan. Kalau didedahkan ibarat menelanjangkan guru di hari kiamat.

Orang di luar ajarannya dianggap ‘tidak cerdik’ sebab tidak mengenal diri. Beragama setakat kulit sahaja. Manakala merekalah yang benar dan merekalah golongan yang terpilih.
Di Amerika Utara ada satu kumpulan kristian bernama FLDS, singkatan dari Fundamentalist Church of Latter Day Saints. Ia adalah sebuah kelompok pecahan Gereja Mormon yang tidak lagi diakui. ‘Nabi’nya bernama Warrren Jeffs. Dia dan pengikutnya boleh berkahwin dengan perempuan seramai manapun tanpa had, malah mengumpulkan dua bersaudara.

Di India terdapat ajaran Kalta yang diasaskan oleh Bhaqwan Shree Rajnesh, lulusan Universiti Jabalpur dalam jurusan falsafah dan kemudian menjadi pensyarah selama 10 tahun. Beliau mengajar murid-muridnya amalan meditasi sambil melafazkan mentera dan kemudian membebaskan mereka melakukan seks sesama pengikut mereka dan diapun ikut serta.
Suatu hari dengan takdir ALLAH, remaja itupun membaca sebuah buku. Selepas membaca sebuah buku dia membaca lagi buku-buku yang lain. Dan akhirnya dia memperoleh hidayah ALLAH SWT, alhamdulillah.

Maka remaja tadi mufarakah dan memutuskan hubungan dengan keyakinannnya yang lama. Kini dia sedar akan kebatilan ajaran yang dianutinya selama ini. Dia akhirnya insaf dan bertaubat. Dia menjadi manusia baru yang bersemangat menjalankan ibadah. Antara buku yang dibacanya sehingga dia memperoleh hidayah itu adalah buku-buku karangan Imam Al-Ghazali (al-Munqidh min ad-Dalal), Prof. Dr. Hamka dan Dr. Abdul Fatah Haron Ibrahim.
Begitulah pentingnya peranan membaca sebagai pemudahcara memperolehi hidayah. Sayang sekali bagi yang malas. Mungkin mereka ini menyangka membaca satu yang amat berat untuk dilakukan. Tetapi saya nasihatkan cuba perbaharui niat, insya-ALLAH kemudahan itu segera hadir.

Pengalamannya ialah saya sendiri. Dahulu saya amat-amat fobia tengok buku, namun sejak berkenalan dengan buku-buku Prof. Dr. Hamka dan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, lama kelamaan kesan itu semakin terhakis, bahkan sekarang pantang melihat buku-buku, pasti akan dibeli.
Sememangnya buku boleh menjadi asbab hidayah ALLAH sampai kepada manusia.

Contohnya ramai yang telah membaca buku Tasauf Moden memperoleh manfaat daripadanya. Prof. Dr. Hamka sendiri ketika dalam tahanan membaca bukunya sendiri.
Ada diceritakan sewaktu dibuang ke Digul, Papua pada tahun 1934, Mohammad Hatta mengangkut berpeti-peti buku masuk ke penjara lalu berkata, “Buku adalah temanku. Buku-buku menjadi temanku dan pastilah (penjara) ini merupakan tempat tenang untuk belajar. Selama aku memiliki buku,aku dapat tinggal di mana saja.”

Manakala, Prof. Dr. Hamka berjaya menulis Tafsir Al-Azhar selama dalam tahanan lebih dua tahun. Beliau dipenjarakan kerana difitnah mahu membunuh Menteri Agama, Saifudin Zuhri dan hendak mengadakan rampasan kuasa dengan mendapat bantuan daripada Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia ketika itu) sebanyak empat juta dolar pada tahun 1964.

Bukan hanya remaja tadi berubah setelah membaca buku, tetapi ramai lagi. Dalam senario dunia hari ini, kita dapat lihat bagaimana riwayat penghijrahan Leopold Weis (Muhammad Asad – baca bukunya Road To Mecca), Maryam Jamelah, Jeffry Lang mahupun Cat Stevans yang memeluk Islam. Semua mereka menempuh jalan ini, yakni iqra’- baca.

Saya menemui satu analogi tentang ini. Perumpamaan orang berilmu dengan orang tidak berilmu dibaratkan seperti mereka memiliki kaki dan yang tidak memiliki kaki. Orang yang memiliki kaki mempunyai bekal, iaitu dengan kakinya dia boleh melangkah dan pergi ke mana-mana dengan lancar tanpa sebarang halangan.

Bagi yang tiada kaki, dia bagai burung yang patah sayapnya. Segala berhalangan baginya. Dia tidak akan mampu melangkahkan kakinya ke mana-mana, malah akan mati kelaparan.
Sememangnya kita mudah ditipu kalau tidak sentiasa menambah ilmu. Ilmu yang dipelajari semasa di sekolah tidak memadai dan mungkin sudah banyak yang lupa. Jadi, kena perbaharui dan teruskan membaca. Kita bekerja siang hari, malam kita boleh membaca.

Bukan sahaja ilmu agama, ilmu berkaitan kerja juga boleh dan ilmu umum pun boleh. Ini kerana pesan sebuah hadis, kalau hendakkan dunia kena berilmu dan kalau hendak akhirat juga kena berilmu. Orang Islam sepatutnya macam itu. Begitu juga seorang muslim tidak boleh mengatakan, “Saya orang awam dalam ilmu agama.” Sebaliknya hendaklah belajar dan terus belajar.

Kata Prof. Dr. Hamka, “Orang yang pengetahuannya sedikit kerap kali menyangka dirinya telah mengetahui semua. Tetapi orang yang telah luas pemandangan dan mendalam ilmunya tidaklah berani lagi mengatakan bahawa dia segala tahu. Bahkan dia lebih berani berkata, “Banyak yang belum saya ketahui.”

Justeru, kita balik kepada kisah remaja tadi. Sekarang tahulah dia, bahawa solat mereka katakan cukup sekadar niat itu sebenarnya mereka malas, puasa itu puas kerana mereka tidak tahan melihat makanan yang terhidang, tidak ada dosa pahala dalam menjalani hidup kerana mengikuti syahwat, dan jangan dedah ajaran kepada orang luar, kerana takut ditahan pihak berkuasa.

Kesimpulannya kata remaja itu, ketua mereka menipu mereka manakala ketua mereka ditipu syaitan. Dan mengapa ketua mereka ditipu syaitan? Kerana tidak berilmu. Justeru, kita kena rindu ilmu. Kelak, dada yang sempit menerima udara baru yang segar.
Insya-ALLAH.

*Penulis merupakan salah seorang penulis Karya Bestari di Karangkraf yang aktif dan telah menghasilkan 3 karya buku berjudul "Anakku... Hidup Sekali Biar Bererti", "Tuhan... Ajari Aku", "Manual Rumah-tangga, Menjemput Cinta Meraih Bahagia". Beliau juga pernah muncul di Tv1, Tv9 dan al-Hijrah selain pernah ke udara di Radio Salam Fm.

Comments

Popular Posts