Patah Sayap Terbang Jua (Expert's View)

by Cinta Abadi




Seketika merenung kehidupan yang telah kita lalui, pasti ada kepahitan, keperitan, kesedihan, dan kedukaan dalam hidup ini.  Namun kegembiraan, keseronokan, kedamaian, ketenangan dan ketenteraman juga tidak dinafikan pernah hadir dalam hidup ini.
Berbicara tentang duka…. kadangkala duka nestapa yang dilalui terlalu perit dan pedih hingga tidak nampak jalan keluar.  Hidup jadi buntu.  Hati menjadi kering.  Mata terbelalak.  Jasad tersungkur.  Rebah tiada daya dan kekuatan.  Seolah-olah tamat sudah kehidupan ini.  Begitulah keadaannya terutama bila kita kehilangan seseorang yang kita amat sayang dari hidup kita.  Hal ini banyak menyebabkan seseorang hilang akal dan pertimbangan. 

Menangislah sepuas-puas hati.  Menjeritlah sekuat-kuat hati.  Berkabunglah mengurung diri.  Reaksi-reaksi ini jelas meninggalkan kesan pada jasad, aqal dan hati.  Ingatlah! Apa jua tindakan kita, jangan lupa yang nun di sana, ada yang sangat menyayangi kita namun tidak kita sedari.  Kembalilah kepadaNya.  Kelahiran dan kematian.  Lahirnya kita tanpa apa-apa.  Takkanlah matinya kita tanpa apa-apa? Sia-sialah hidup ini jika kita berputus asa hanya kerana  insan yang meninggalkan kita.  Orang yang ternyata sangat lemah dan tidak berdaya untuk bersama kita. 

Bangunlah! Patah sayap terbang jua… pepatah yang sangat sesuai untuk kita hadamkan.  Jadilah seperti burung yang patah sebelah sayap.  Namun tetap terbang meneruskan kehidupan.  Terbang terus melihat keindahan alam ini.  Apakah burung lebih bijak dari kita?  Justeru itu, lawanlah kemurungan yang menghinggapi kita.  Sabar dan tabah dalam setiap yang berlaku.  Berbaliklah kepada yang paling menyayangi dan sentiasa melindungi kita setiap detik kehidupan ini.  Langit takkan selalu mendung.  Awan pasti berarak pergi!

Dalam dunia perubatan moden kini, murung dimartabatkan sebagai suatu penyakit yang tiada tempoh tertentu untuk sembuh.  Ditemani dengan ubat penenang, seseorang yang murung diberi cuti hingga berbulan-bulan.  Apakah ini sekadar emosi? Atau sebagai satu helah?  Apakah emosi ini juga boleh menyebabkan seseorang itu sanggup mencabut nyawanya sendiri?  Wajarkah kita memandang sepi pada masalah kemurungan?  La tahzan!  Jangan bersedih!  Mudah kalimat ini tapi dalam maksudnya.
Ketika bapa kepada Nabi Yusuf a.s dikabarkan tentang kematian Nabi Yusuf a.s oleh abang-abangnya, kesedihan dan kemurungan yang teramat menimpa bapanya.  

Tangisan dan kedukaan ini telah mengakibatkan matanya buta dan jasadnya sakit.  Namun hatinya setiap saat tetap berdoa kepada Allah swt.  Inilah yang membolehkannya untuk terus hidup.  Lihatlah bagaimana Allah swt menceritakan tentang kemurungan dan penyelesaiannya. 

Sekiranya kita bertakwa dan beramal soleh, kita pasti mendapat kejayaan dunia dan akhirat.  Tidak perlu ubat penenang.  Cukuplah dengan mengingati Allah swt, hati menjadi tenang.  Ini janji Allah swt!  Dirikan solat dan berdoa.  Mengadu kepadaNya.  Yakin pada perlindungan dan pengetahuan Allah swt.  Doa yang ikhlas akan mengubati kita.  Solat yang kusyuk akan meredakan kepedihan sedikit demi sedikit.  Motivasikan diri supaya tidak menoleh ke belakang. 

Lupakan dan maafkan apa jua yang terjadi.  Sentiasa melihat ke hadapan.  Barulah kita akan dapati, rupa-rupanya banyak peluang keemasan yang Allah swt bukakan untuk kita.  Diri kita bukan milik kita.  Apa lagi diri orang lain!  Pastikan Allah swt bertakhta di hati kita… in syaa Allah, kita pasti selamat dunia dan akhirat.  Janji Allah swt itu pasti.  SayangNya pada kita, tiada tandingan.


Para pembaca yang dihormati dan disayangi lillahi taala,
Sekiranya ada yang murung dan bermuram durja di saat ini, ingatlah Allah swt sebanyak mungkin.  Ketika rebah terbaring, air mata mengalir, dada sesak, sebutlah nama Allah swt dengan hatimu.  Jeritlah nama Allah sedalam-dalam hatimu. Terus-menerus memohon pertolonganNya.  Tiada yang dapat mengubatimu kecuali dengan kehendakmu dan keizinanNya jua.  Biarlah yang berlalu.  Ambil iktibar.

Walau bagaimana susah sekalipun, jangan lupa yang Allah sangat sayang padamu.  Jangan biarkan diri terumbang ambing sendirian tetapi berpautlah pada Allah swt yang menciptamu.  Sudah tentu Dia lebih memahami akan dirimu sedangkan dirimu sendiri pun tidak memahami dirimu.  Bukalah Al-Quran dengan niat mencari penyelesaian.  Pasti akan ditemui ayat-ayat yang sesuai dengan keadaanmu.  Bukalah lembaran baru.  Azam baru.  Berusahalah menjadi orang yang berguna di sisi Allah swt, bukan di sisi orang lain yang memang lemah yang mendukacitakanmu.  Rebutlah kejayaan seperti Bilal ibn Rabah atau mujahidah pertama Sumaiyah.  Walaupun sakit menahan siksaan, mereka tetap meraih syurgaNya.

Fahamilah Surah Taha: ayat 110-112 di mana Allah swt bersabda penuh lembut bagi menenangkan jiwa-jiwa yang kusut.

“Dia (Allah) mengetahui apa di hadapan mereka yang akan terjadi dan apa yang di belakang mereka yang telah terjadi, sedangkan ilmu mereka tidak dapat meliputi ilmuNya.  Dan semua wajah tertunduk di hadapan (Allah) Yang Hidup dan Yang Berdiri Sendiri.  Sesungguhnya rugi orang yang melakukan kezaliman.  Dan barang siapa melakukan kebaikan sedang dia dalam keadaan beriman, maka dia tidak bimbang akan perbuatan zalim terhadapnya dan tidak pula bimbang akan pengurangan haknya”.

Ampun dan maaf dipinta atas kelemahan penulis.  Semoga Allah swt memberkati hidup kita.   Aamiin.

*Penulis merupakan alumni San Jose State University, California dalam bidang computer science. Kemudian, beliau meneruskan pengajian di Universiti Malaya dalam bidang Software Requirements Engineering untuk pengajian sarjana beliau. Penulis juga merupakan merupakan seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Programming dan Math. Selain bergiat aktif dalam bidang pendidikan, penulis juga aktif dalam bidang motivasi dan kesukarelawanan.

Comments

Post a Comment

Popular Posts