Pelangi Dakwah

by Puteri Arisha

IN THE NAME OF ALLAH THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL 


PELANGI DAKWAH!

Hilang pahitnya tarbiah,
Dengan kemanisan ukhuwah,
Baja ‘abid ikhlas fillah,
Menghasilkan seorang khalifah.

Tugas bagi seorang khalifah antara salah satunya adalah berdakwah kepada orang yang berada di sekelilingnya.

Berdakwah adalah perkara yang sungguh indah. Indahnya dakwah itu ibarat pelangi yang muncul setelah hujan, penuh dengan warna-warni. Kerana itu, saya namakan hasil coretan ini sebagai “Pelangi Dakwah”.

Sesungguhnya dakwah itu penuh dengan seni. Kita ini bukannya berurusan dengan robot atau haiwan, tetapi kita berurusan dengan manusia. Pelbagai ragam hati, jiwa, rupa dan gaya bakal kita temui.

Manusia ini hanya mampu ditawan oleh cinta dan kasih sayang kerana itulah, Allah telah menghadiahkan kepada setiap manusia anugerah hati dan cinta ke dalam diri masing-masing. 

Anugerah yang Allah bagi itu bukannya untuk dinikmati sendirian, tetapi untuk digunakan dalam membawa sesama manusia ke jalan syurga Ilahi. 

Saya sedar bahawa jalan dakwah ini tidak hanya dihidangkan dengan karpet merah.
Jalan dakwah ini bukanlah sebuah lorong yang ditaburi kelopak-kelopak mawar merah yang harum mewangi saja. Jalan dakwah ini juga penuh dengan duri-duri daripada batang mawar merah itu tadi. 

Untuk itu, kita semua perlu kuat dan tabah dalam menempuhi setiap rintangan yang mendatang. Kerana saya percaya bahawa pengakhirannya itu manis sekali. Kita semua harus akui, iman itu “yazid wa yankus”. 

Iman itu menaik dan menurun. 
Kita adalah pendakwah kepada diri kita, sahabat-sahabat kita, ahli keluarga kita so, jangan pernah sekalipun kita berputus harapan untuk terus menarik mereka ke arah kebaikan kerana kita semua tidak tahu bila akan tibanya waktu bagi seseorang itu akan berpaling dari kejahiliahan dan menapak jalan ke arah tarbiah.

Jalan dakwah ini memerlukan orang-orang yang kuat untuk melepasi setiap onak dan durinya. Untuk itu, saya ingin mengingatkan diri kita semua bahawa setiap kesukaran dan kesusahan yang kita lalui ini cumalah sedikit jika hendak dibandingkan dengan rintangan dan dugaan yang Rasulullah serta para sahabat lalui suatu ketika dahulu. 

Jika mereka semua tegar melalui setiap kesusahan dalam menyampaikan dakwah, takkan kita mahu berputus asa dan berhenti sekerat jalan??

Padahal apalah sangat kesukaran yang kita hadapi ini jika nak dibandingkan dengan mereka. Biarlah ketika ini kita merasai kepahitan sekalipun. Kerana saya tahu, kemanisannya menanti kita di hujung sana, “SYURGA”. Ya, itulah yang sedang dan ingin kita tujui. In Shaa Allah.

Allah pasti akan memberikan hidayah-Nya kepada sesiapa yang benar-benar inginkan hidayah tersebut. Maka, bersabarlah, berlembutlah, bertenanglah dan berhaluslah dalam memikat hati setiap insan kepada tarbiah, dakwah dan Islam. 

Harapan saya, semoga tidak ada seorang pun manusia di dunia ini yang terlepas peluang untuk menikmati manisnya detik-detik dirangkul tarbiah. Islam perlu diwarisi dan kitalah pewarisnya.


“Demi Allah, sekiranya seseorang itu diberikan hidayah kerana usaha dakwahmu, maka itu lebih baik bagimu daripada kamu memiliki unta."
 (Hadis Riwayat Muslim) 

Comments

Popular Posts